19 September, 2009

Nama

sayangku.

akhirnya nama untuk anak sulung kita telah pun kita pilih. ternyata ini pilihan kita berdua. yang penting nama ini sesuai untuk anak kita nanti. dan, diharapkan juga nama ini akan memberikan 1001 keberkatan untuk yang empunya nama.

dari segi pemilihan nama ini. abang amat mementingkan pada makna nama itu sendiri. abang tidak berminat sangat dengan nama nama moden yang kurang memberikan makna tertentu. mungkin ada yang berkata; kamu tidak cukup moden kerana tidak mengikut peredaran masa dengan tidak memberikan nama yang agak moden untuk anak kamu. pada abang, itu pilihan masing-masing. tepuk dada tanya selera. abang tidak kearah itu.

Adam.

itulah nama untuk anak kita. nama yang diambil diatas keberkatan nama Nabi kita iaitu Nabi Adam. sebagai nabi yang pertama. untuk anak kita yang pertama.

InsyaAllah, semoga nama ini memberikan satu kerahmatan buat anak kita.

18 September, 2009

Terima Kasih Untuk Perasaan Ini

alhamdulillah.

sayang. tahun ini kita akan menyambut aidilfitri bersama orang baru. orang baru yang dimaksudkan ini adalah anak kita. anak sulung kita yang kita tunggu-tunggu dan harapkan selama ini. impian kita telah tercapai untuk menimang cahaya mata kita yang pertama . abang bersyukur dengan kelahiran anak kita ini. penyeri hidup dan NUR untuk keluarga kita.

sayang. terima kasih kerana telah melahirkan seorang bayi lelaki yang indah. seindah kasih sayang kita yang disemai oleh kita berdua. tiada kata yang setanding untuk abang ucapkan atau luahkan oleh kata-kata dengan apa yang bermain didalam hati abang ini. terus terang, abang mengatakan bahawa abang berasa sungguh complete dengan kehadiran anak kita ini. sesungguhnya tiada apa yang lebih indah dari menatap wajah anak kita, mendengar tangisan anak kita saban malam yang membuatkan kita tidak cukup tidur. namun abang bersyukur gembira. biarlah walaupun tidak cukup tidur. yang penting abang merasa bahagia melihat keletah dan perangai anak kita yang berubah hari semakin hari.

sayangku.

terima kasih kerana bertarung nyawa untuk kita sekeluarga demi melahirkan anak lelaki kita yang comel.

memang payah untuk menyatakan segala rasa yang bermain dalam benak hati ini. memang benarlah dengan kata-kata orang tua bahawa sesuatu kegembiraan yang memuncak itu tidak dapat disamakan dengan bait-bait kata mahupun dengan sejuta syair-syair rindu.

bila kita alaminya dengan sendiri, barulah kita tahu perasaan itu bagaimana.

sayangku.

semuga dengan kedatangan syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, akan memberikan 1000 keberkatan untuk keluarga kita. terutamanya dengan kehadiran hero kita yang seorang ini.

sebelum abang terlupa, anak lelaki kita ini sedikit sebanyak nampaknya telah banyak mengikut dengan perangai sayang. saling tidak tumpah. membuatkan abang tersenyum sinis setiap hari.

sayangku. terima kasih cinta untuk rasa-rasa ini !